Datuk Wan Mohammad Sani Salleh
Saya memilih Datuk Wan Mohammad Sani Salleh dalam tugasan
ini adalah disebabkan kejayaan beliau yang dikagumi. Walaupun beliau beusia
muda tetapi beliau telah berjaya dalam perniagaannya malah juga merupakan
usahawan Malaysia yang berjaya. Beliau seorang yang mempunyai impian. Buktinya,
beliau sedar akan kehidupan dulu yang hanya berhibur dan tidak ada masa depan.
Beliau meletakkan tekad untuk merubah tahap kehidupannya dengan berniaga
sendiri. Walaupun pada mulanya beliau
menghadapi masalah dalam kerjayanya disebabkan dua orang rakan konsinya menarik
diri, beliau tetap tabah dan tidak berputus asa.Sikap beliau ini boleh
dipelajari oleh orang ramai.
Latar Belakang Datuk Wan Mohammad Sani Salleh:
Nama : Datuk Wan
Mohammad Sani Salleh
Usia : 35 tahun
Lahir : 24 Julai 1976 di
Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Terengganu
Adik Beradik: Keempat
daripada enam beradik
Pendidikan : Diploma
Pengurusan Perniagaan Kolej Sunway (1994)
Jawatan : Pengarah
Urusan Sani United Sdn Bhd (Sani Express Sdn Bhd, Sani Properties Sdn Bhd dan
Sani Hotel Sdn Bhd).
Kejayaan Datuk Wan Mohammad Sani Salleh:
Pada usia
muda ini, perniagaan beliau yang memberi pulangan jutaan ringgit, bangunan
sendiri sebagai pusat operasi perniagaan dengan kos pembelian serta
pengubahsuaian mencecah RM7 juta, memandu kereta Ferrari F360 Modena bernilai
RM1 juta dan mendiami banglo mewah bernilai RM 9 juta.
Bagi Wan Mohd
Sani atau lebih mesra dengan panggilan Sani, apa dikecapinya hari ini di luar
jangkaan, malah tidak pernah diimpikannya. Beliau memulakan perniagaan atas
dasar minat dan mahu merubah kehidupannya ke tahap lebih baik.
Selama
beberapa tahun menceburi bidang hiburan, beliau mengakui tidak nampak masa
depannya dalam bidang itu.Rakannya
sejak zaman kanak-kanak, Datuk Sharifuddin dijadikan sebagai inspirasi selepas
melihat rakannya berjaya dalam perniagaan.. Dengan itu, beliau meletakkan tekad
untuk merubah tahap kehidupannya dengan berniaga sendiri.
Beliau
bermula dengan membuka bengkel membaiki kenderaan di beberapa tempat seperti
Kuala Lumpur dan Terengganu dan seterusnya mencuba perniagaan dalam bidang
pengangkutan iaitu bas yang sememangnya menjadi minatnya. Ketika memulakan
perniagaan dalam bidang pengangkutan, pelbagai cabaran getir terpaksa ditempuh
dan beliau perlu bekerja keras sehingga terpaksa tidur di pejabat. Pada 2003
Sani menubuhkan SUSB khusus untuk perniagaan pengangkutan itu. Ketika itu,
beliau berkerjasama dengan dua lagi rakan kongsi. Namun tidak lama kemudian dua
rakan itu menarik diri menyebabkan beliau terkontang-kanting seorang diri.
Keadaan ketika itu memang getir.
Ketika itu
beliau hanya ada seorang pekerja dan dengan menggunakan sepenuhnya kudrat dan
buah fikirannya, segala perancangan untuk memulakan operasi bas ekspres yang
diimpikannya hanya menampakkan hasil selepas tiga tahun bertungkus lumus dan
modal daripada institusi kewangan.
Pada Januari
2006 Sani Express wujud di jalan raya dan
perjalanan perniagaan berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan,
perniagaan beliau menjadi semakin berkembang. Daripada seorang pekerja, Sani
kini mempunyai 150 kakitangan sendiri. Daripada pejabat kecil di Ukay Perdana,
Sani kini ada wisma sendiri yang dibeli dan diubahsuai dengan belanja mencecah
RM 7 juta.
Sumber: eblogger: Kisah Usahawan & Utusan Online: Liku Kejayaan Sani Express
------------------------------------------------------------------------------------
Utusan Online
Liku kejayaan Sani Ekspres
Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
bisnes@utusan.com.my
KOTA BHARU 15 Julai - Di mana ada kemahuan, di situ ada
jalan. Tekad yang menggambarkan liku-liku perjalanan Datuk Wan Mohammad Sani
Salleh sebelum bergelar usahawan muda Melayu negara yang berjaya.
Beliau merupakan pemilik rangkaian operasi bas yang
sedang meningkat naik Sani Ekspres di bawah kendalian syarikat, Sani United
Sdn. Bhd. (SUSB).
Biarpun baru berusia 35 tahun tetapi Wan Mohammad Sani
sudah menggenggam pelbagai pengiktirafan termasuk Tokoh Usahawan Muda, anugerah
yang dinobatkan oleh Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia
(Perdasama), baru-baru ini.
Malah, beliau dianggap ikon generasi muda dalam dunia
perniagaan masa kini.
Ketika berkongsi pengalamannya, Wan Mohammad Sani
berkata, beliau sendiri tidak pernah terlintas untuk berada di tahap sekarang
biarpun memiliki impian menjadi ahli perniagaan sejak remaja lagi.
Sewaktu mengimbau semula sejarah perniagaanya, beliau
berkata, hasrat untuk memiliki perniagaan bas timbul selepas sering
berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Terengganu 20 tahun lalu.
''Saya sebenarnya memulakan perniagaan melalui naluri
sendiri, tidak ada orang suruh, tidak mendapat pandangan orang lain.
Penglibatan dalam bidang ini adalah atas desakan diri sendiri.
''Saya akui mempunyai sedikit kelebihan iaitu pandai
mencari peluang dan peluang yang ada saya gunakan sebaik mungkin, kalau tidak
sampai bila pun kita tidak mampu mendapatkannya lagi,'' katanya kepada Utusan
Malaysia di sini.
Katanya, pengalaman menaiki pelbagai perkhidmatan bas
mendorong dirinya sendiri untuk memberi perkhidmatan bas terbaik suatu hari
nanti.
Dengan peluang yang diberi, beliau mula membuat kajian
terperinci, penganalisis dan menstruktur strategi.
Ditanya mengapa industri pengangkutan menjadi
pertaruhannya, Wan Mohammad Sani berkata, tiada sebab lain kecuali sektor
tersebut begitu mencabar sehingga memerlukan semangat yang kuat kerana ia bukan
mudah, selain risiko juga cukup banyak.
Namun, beliau tidak menafikan kesukaran yang dilaluinya
berbaloi apabila Sani Ekspres kini adalah peneraju dalam pengangkutan ekspres
di Malaysia.
Sani Ekspres, bas merah putih yang mula membelah jalan
raya pada 2006, kini mempunyai 150 kakitangan sendiri dan beroperasi di Wisma
Dato' Sani di Klang Sentral.
Beliau berkata, biarpun SUSB adalah miliknya, tetapi dia
masih bekerja seperti makan gaji untuk memastikan syarikat itu menjadi sebuah
syarikat pengangkutan terbesar akan tercapai suatu hari nanti.
''Saya sedar impian ini sukar dan saya tidak ada jalan lain
kecuali berusaha, berusaha dan berusaha,'' ujarnya.
Wan Mohammad Sani berkata, dia bukan sahaja berhasrat
memiliki 100 buah bas dan meneroka semua laluan yang ada, tetapi juga mahu
memperkenalkan bas-bas berteknologi tinggi di Malaysia seperti bullet bus hasil
kerjasama dengan sebuah syarikat di Sweeden.
Ia selari dengan hasratnya - mahu mengubah persepsi
bahawa penggunaan bas ekspres bagi perjalanan jarak jauh adalah lebih
menjimatkan dan selamat. ''Ia adalah keutamaan saya sekarang,'' kata beliau.
Ditanya tentang aktiviti hariannya, beliau mengakui
masanya terhad kerana sibuk merencana perniagaan dan Sani Ekspres bukanlah
tumpuan tunggal kerana perniagaannya yang lain turut menuntut perhatian yang
sama.
Di sebalik jadual harian yang padat, beliau tidak pernah
mengeluh kepenatan terutamanya dengan kehadiran Gia Zara, puteri sulungnya yang
dilahirkan pada 1 Julai lalu.
''Kelahiran Gia Zara begitu bermakna dan memberi semangat
baru kepada saya meneruskan perjuangan melebarkan empayar perniagaan ini,'' kata
beliau sebagai menutup bicara dalam pertemuan itu.
Sumber:
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_02.htm#ixzz2v2LScra0
© Utusan Melayu (M) Bhd