1) Keuntungan bukanlah menjadi matlamat utama.
Jadikanlah matlamat utama berniaga adalah untuk mencapai
dan mendapatkan keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT. Sekiranya berniaga
dengan niat untuk mendapat keuntungan sahaja kita akan mudah terpesong dan
melanggar prinsip perniagaan dalam Islam.
Perniagaan yang diberkati adalah perniagaan yang dijalankan secara
jujur, telus dan menjadikan pelanggan itu seperti saudara sendiri.
2) Jujur dan Telus
Usahawan yang jujur akan mudah mendapat tempat di hati
pembeli dan pelanggan. Justeru, hubungan yang baik antara pelanggan dan peniaga
akan terbina sekiranya tiada unsur-unsur mengambil kesempatan dan mengambil
untung yang melampaui batas ke atas pelanggan. Nabi Muhammad SAW juga pernah
bersabda bahawa akan di masukkan peniaga yang jujur dan telus itu ke dalam
syurga bersama rasul-rasul Allah dan mereka yang beriman.
3) Terbuka dengan kritikan
Usahawan yang ingin berjaya tidak pernah takut dan
memandang negatif ke atas setiap kritikan yang diberi oleh sesiapa sahaja
terhadapnya mahupun produknya. Walaupun kenyataannya kritikan itu sesuatu yang
amat pahit untuk ditelan namun ianya perlu dilihat daripada sudut pandangan
yang positif agar dapat bertindakbalas dengannya dan memperbaiki keadaan. Sikap
sebeginilah yang menujukkan anda seorang yang berani dalam melakukan perubahan
dan pembaharuan demi memenuhi keperluan pengguna.
4) Utamakan kebersihan
Kebersihan dalam penghasilan produk pemakanan adalah amat
dituntut di dalam Islam. Menjaga kebersihan bukan sahaja mengelakkan daripada
mendatangkan kemudharatan tetapi menghadirkan perasaan selesa kepada pengguna
itu sendiri. Apabila timbulnya perasaan selesa tersebut, hati pelanggan akan
mudah terikat dengan produk yang dihasilkan dan juga perkhidmatan yang
ditawarkan.
5) Mempunyai impian dan matlamat yang tinggi
Walau dalam apa jua bidang yang diceburi kita perlulalah
bercita-cita tinggi termasuklah juga dalam bidang usahawan ini. Usahlah takut
untuk mencipta dan berimpian yang besar jika kita punya kemampuan dan keupayaan
untuk mencapainya. Sebagai contohnya anda bermula dengan perniagaan warung yang
kecil dan seterusnya mempunyai restoran yang sederhana besar, kemudian ingin
membuka beberapa rangkaian di seluruh daerah dan seterusnya negeri. Bukan susah
untuk merancang, tetapi apa yang
sukarnya ialah untuk melaksanakannya., namun anda masih punya pilihan samada
untuk membiarkan sahaja impian itu berkubur kerana semangat anda yang lemah
atau meneruskan dan menjadikannya satu kenyataan. Segala keputusan dan hasil
adalah berada di tangan anda, namun yang penting jangan lupa untuk memanjatkan
doa memohon pertolongan daripada Allah SWT.
6) Bekerjasama dengan saingan dalam pasaran yang sama
Mentaliti masyarakat melayu yang suka dengki, hasad dan
ingin untung seorang ini haruslah di kikis dan dibuang terus. Kalau bukan kerana
sikap ini mungkin tidak akan ada peniaga yang dibomohkan dan disantaukan oleh
orang-orang tertentu yang tidak senang dengan kejayaan seseorang itu. Kita
boleh mengambil contoh peniaga bukan Islam seperti bangsa cina contohnya.
Mereka benar-benar tolong menolong sesama mereka dalam perniagaan. Seperti
pengalaman seorang pelajar ini yang ingin membeli telefon bimbit di sebuah
kedai di ibu kota, namun model yang diinginkan tiada di kedai tersebut, tetapi
peniaga cina ini tidak membiarkan pelanggannya itu berlalu begitu sahaja
sebaliknya membawanya ke kedai yang berhampiran untuk membantunya membuat
pilihan di sana. Perkhidmatan ini sangat memuaskan hati pelajar tersebut.
Bagaimanakah peniaga cina tersebut boleh melakukan sebegitu sedangkan dia tidak
mendapat sebarang untung pun di situ, hebat sungguh cara berbisnes bangsa cina
ini.
Perbuatan jatuh- menjatuhkan sesama peniaga juga tidak
haruslah berlaku dalam perniagaan Islam, sebaliknya haruslah bergandingan
memajukannya. Menubuhkan persatuan peniaga juga boleh dipertimbangkan sebagai
medan perbincangan dalam menyelesaikan masalah yang berlaku dalam perniagaan.
Melaluinya juga para peniaga boleh bertukar-tukar pendapat dan fikiran dan juga
pengalaman untuk mengembangkan lagi perniagaan.
7) Sesekali tidak menjual barangan haram
Ada sebilangan peniaga yang tidak menganggap penjualan
barangan yang haram ini sebagai satu perkara yang harus dijauhi. Barangan yang
haram ini bukanlah sahaja seperti yang kita maklum iaitu arak, daging babi atau
yang bersangkutan dengannya tetapi barangan curi, barangan yang boleh
memudaratkan seperti dadah dan sebagainya, barangan yang salah di sisi
undang-undang seperti penjualan senjata api dan daging binatang liar tanpa
lesen yang sah juga dikategorikan sebagai barangan haram. Perniagaan dalam
Islam ini haruslah barangan dan perniagaan yang tidak melibatkan barang yang
mutashabihat( ragu) daripada segi kandungan dan pembuatannya. Islam terlalu
luas skopnya namun kenapa masih ada di antara kita yang masih ingin melibatkan
dalam perkara syubhah begini.
Usahawan muslim perlulah mengambil langkah yang lebih
tangkas dan cekap dalam memajukan bisnes yang melibatkan penghasilan makanan
bagi umat Islam ini. Kandungan dan penjualan makanan umat Islam kini semakin
tidak diambil peduli dan dipandang ringan oleh sesetengah pihak berwajib.
Pengguna juga kurang mengambil berat apa yang dimakan mereka, tidak kira
samaada makanan itu halal ataupun tidak, apa yang penting bagi mereka adalah
sedap. Seharusnya kita sebagai umat Islam perlu menitik beratkan soal pemakanan
ini sebab ia akan menjadi darah daging kita. Bantulah usahawan muslim untuk
terus hidup dan maju dalam perusahaan mereka.
Wallahua’alam.
Sumber: Laman Usahawan Muda-
http://forumusahawanmuda.wordpress.com/artikel-2/hubungi-kami-3/
No comments:
Post a Comment